Wed, 26 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Jelapang padi bukit boleh bebaskan Tongod dari miskin tegar
Published on: Saturday, June 08, 2024
By: Bernama
Text Size:

Jelapang padi bukit boleh bebaskan Tongod dari miskin tegar
TANAMAN tradisi padi bukit diusahakan penduduk di daerah Tongod.
TONGOD: Pembangunan jelapang padi bukit di Tongod merupakan inisiatif yang mempunyai potensi besar sebagai pemangkin dalam usaha membebaskan daerah itu daripada miskin tegar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah.

Beliau berkata dengan pembangunan jelapang padi bukit, kerajaan boleh membangunkan industri makanan berasaskan padi di daerah tersebut di mana pemilik tanah terbiar dan juga agensi berkaitan sedia berkolaborasi bagi merealisasi hasrat itu.

Menurut Masiung, usaha itu juga selaras dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mahu Sabah mengutamakan golongan miskin tegar dalam inisiatif membabitkan pertanian, perikanan dan industri makanan bagi membantu golongan ini keluar daripada kemiskinan tegar.

“Berdasarkan keluasan tanah di Tongod, jika diusahakan dengan bantuan kerajaan, ia mampu menjadi pengeluar makanan di negeri ini menerusi penanaman padi bukit. Selain padi bukit, Tongod juga berpotensi untuk projek ternakan ikan air tawar berdasarkan sumber air sungai.

“Pada masa ini tanaman padi bukit yang diusahakan penduduk secara tradisi menyumbang kepada sumber ekonomi mereka, namun saya percaya jika ada bantuan untuk wujudkan jelapang, kapasiti padi dihasilkan akan lebih besar dan membantu bekalkan padi untuk negeri ini,” katanya ketika dihubungi, Khamis.

Selasa lepas, Hajiji dilaporkan sudah mengarahkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (Maffi) mengutamakan golongan miskin tegar dalam program dan pelan tindakan kementerian tersebut sebagai sebahagian inisiatif membasmi golongan itu di Sabah.

Pada Mac lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata kemiskinan tegar di Sabah direkodkan pada kadar 1.2 peratus atau enam kali ganda berbanding kadar nasional sebanyak 0.2 peratus.

Rafizi berkata Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 menunjukkan kadar kemiskinan tegar di lapan daerah di negeri itu adalah lebih tinggi berbanding kadar nasional dengan Tongod mencatat kadar tertinggi iaitu 5.9 peratus.

Masiung berkata kolaborasi antara penduduk bersama MAFFI dan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) juga dilihat berpotensi dalam usaha mengurangkan miskin tegar di Tongod dengan melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan padi serta penghasilan makanan.

Justeru, beliau dan penduduk di kawasan itu menyatakan kesediaan untuk berkolaborasi bagi mewujudkan tanaman padi bukit secara bersepadu di Tongod bagi menampung pengeluaran padi yang merosot sejak kebelakangan ini.

“Ini boleh dilakukan kerana lihat sahaja inisiatif penanaman padi bukit di Sarawak, ia perlu dicontohi kerana pasaran mereka sudah mampu menembusi Sabah, Brunei dan Semenanjung.

“Jika penanaman padi dilaksanakan secara meluas, kadar kemiskinan penduduk di daerah itu boleh diatasi,” katanya. 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here