Fri, 28 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

33 Ketua Perhubungan Rela Kawasan, Ketua Platun Rela dilantik di Kunak
Published on: Thursday, June 06, 2024
By: Ibrahim Tabir
Text Size:

33 Ketua Perhubungan Rela Kawasan, Ketua Platun Rela dilantik di Kunak
DARMAN (duduk tengah) bersama pegawai dan anggota KPRK dan KPR bergambar selepas penyampaian watikah perlantikan.
KUNAK: Seramai 33 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menerima watikah perlantikan sebagai Ketua Perhubungan Rela Kawasan (KPRK) dan Ketua Platun Rela (KPR) untuk Kunak untuk tahun ini. Daripada jumlah itu, 11 orang merupakan KPRK dan 22 lagi adalah KPR.

Pengarah Rela Sabah Darman Dabang berharap anggota yang dicalonkan dan dilantik sebagai KPRK dan KPR akan melaksanakan tugas dan fungsi mereka khususnya dalam membantu dari segi aspek sukarelawan, keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Pelantikan ini bukan hanya jawatan semata-mata tetapi seiring dengan peranan dan tanggungjawab yang harus dipikul. Jalankan tugas yang diamanahkan dengan cekap dan berintegriti.

“Rela merupakan salah satu agensi yang rapat dengan rakyat. Dalam kita menguruskan keanggotaan ini, kita perlukan seseorang yang boleh menjadi ketua dalam kalangan anggota yang akan menyelaraskan apa juga program dan aktiviti di lapangan.

“Sudah tentu mereka yang dipilih dan dilantik mempunyai karakter kepimpinan, boleh membantu tanpa mengira kepentingan diri, sebaliknya lebih kepada kepentingan jabatan dan masyarakat.

“Inilah orang yang sangat kita perlukan dan melaksanakan tugas mereka di lapangan,” katanya ketika pada Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan KPRK & KPR peringkat daerah di Dewan terbuka Kg. Lormalong, pada Selasa.

Darman berkata, pemilihan KPRK dan KPR adalah berdasarkan latihan tertentu selain menjalani kursus asas, dan mempamerkan kepimpinan serta disiplin yang baik.

“Melalui kursus kepimpinan, mereka ini diberi peluang dan ruang untuk cuba mempraktikkan tugas dan peranan di lapangan. 

“Mereka yang baharu dilantik ini sama ada calon atau KPRK dan KPR sebenarnya telah diuji dengan beberapa latihan dan pelaksanaan tugasan tertentu,” katanya.

Katanya, Rela sebagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut banyak membantu dalam penugasan seperti rondaan keselamatan bersama polis, dan Esscom di samping membantu agensi-agensi lain termasuk AADK, Imigresen dan Jabatan Kesihatan bagi tugasan tertentu.

“Khidmat bakti Rela misalnya juga diperlukan dalam aktiviti gotong-royong membersihkan sesebuah kawasan bersama komuniti demi kesejahteraan masyarakat, selain program kemasyarakatan seperti sumbangan dan lawatan kebajikan yang dianjurkan oleh jabatan ataupun kolaborasi bersama agensi lain,” katanya. 

Darman juga merakamkan penghargaan kepada Ahli-ahli Bersekutu Rela yang telah banyak membantu dalam memastikan setiap program atau aktiviti Rela dapat diadakan dengan teratur dan lancar.

Turut hadir dalam majlis itu, Pemangku Pegawai Rela daerah Kunak Ridswan Abdul Saleh, Pegawai Rela daerah Semporna Azudin Dasil, Penolong Pegawai Rela Tawau Jassoniskie Justar, Ahli Bersekutu Rela Kunak Heng Mok Wang dan Thien Sang Phin@David, Ahli Bersekutu Rela Semporna Kwan Yaw Fu, dan bekas KPRK mukim Pangi Kunak, Ribut Nasip.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here