Tue, 25 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

WMO berjaya kurangkan kes denggi antara 45 dan 100 peratus: Lukanisman
Published on: Wednesday, June 05, 2024
By: Bernama
Text Size:

WMO berjaya kurangkan kes denggi antara 45 dan 100 peratus: Lukanisman
Bertemakan Towards Zero Dengue Deaths: Innovation, Collaboration, Action in Asia, sidang kemuncak tiga hari bermula hari ini itu menghimpunkan lebih 450 pakar denggi terkemuka dari 20 negara termasuk pengamal perubatan, penyelidik akademik, peneraju kesihatan awam dan pembuat dasar untuk bertukar idea, perkembangan dan pencapaian dalam pencegahan dan kawalan denggi. - Foto untuk ilustrasi sahaja.
Kuala Lumpur: Operasi Nyamuk Wolbachia (WMO), sebuah inisiatif oleh Kementerian Kesihatan untuk memerangi penularan denggi yang bermula pada 2019, berjaya mengurangkan jumlah kes denggi antara 45 hingga 100 peratus di 19 lokaliti.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata negara mencapai penurunan ketara dalam kadar kematian kes denggi (CFR) daripada 0.63 peratus pada 2000 kepada 0.08 peratus tahun lepas, dengan usaha rapi dan berterusan di pelbagai peringkat melibatkan pihak berkepentingan negara, negeri dan daerah.

“Sehingga kini, sejumlah 35 lokaliti melaksanakan WMO di seluruh negara,“ katanya ketika berucap melancarkan Sidang Kemuncak Denggi Asia ke-7 di sini hari ini.

Lukanisman berkata program Communication for Behavioural Impact (COMBI) telah dilaksanakan di 3,380 lokaliti dengan lebih 32,163 ahli aktif di seluruh negara untuk memudahkan mobilisasi komuniti bagi aktiviti pencegahan denggi.

“Kami mengharapkan vaksin denggi dapat mengawal penularan penyakit ini dan akan terus mencari lebih banyak bukti bagi memastikan vaksin ini dapat melengkapkan usaha untuk mencegah, mengurus dan mengawal denggi mengikut beban jangkitan di negara dan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),“ katanya.

Lukanisman berkata dalam tempoh dua dekad sahaja, bilangan kes denggi di seluruh dunia meningkat 13 kali ganda daripada 500,000 pada 2000 kepada 6.5 juta tahun lepas.

Kebanyakan peningkatan katanya, disebabkan oleh jangkitan dari Malaysia dan negara Asia lain seperti Thailand, Bangladesh, Vietnam dan Indonesia.

“Semasa pandemik COVID-19, kita gembira melihat penurunan ketara kes denggi susulan sekatan pergerakan. Malangnya, penurunan ini bersifat sementara. Apabila dunia kembali normal, kes denggi meningkat semula.

“Semestinya, 2023 mencatatkan bilangan kes tertinggi yang pernah direkodkan secara global, melepasi puncak luar biasa pada 2019. Dengan lebih 6.5 juta kes dan lebih 7,300 kematian berkaitan denggi dilaporkan WHO, keperluan untuk tindak balas kolektif tidak dapat dipertikai lagi,“ katanya.

Bertemakan Towards Zero Dengue Deaths: Innovation, Collaboration, Action in Asia, sidang kemuncak tiga hari bermula hari ini itu menghimpunkan lebih 450 pakar denggi terkemuka dari 20 negara termasuk pengamal perubatan, penyelidik akademik, peneraju kesihatan awam dan pembuat dasar untuk bertukar idea, perkembangan dan pencapaian dalam pencegahan dan kawalan denggi.

Sidang kemuncak itu dianjurkan bersama Asia Dengue Voice and Action (ADVA) Group dan Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM), selain persatuan dan kumpulan kesihatan awam yang lain.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here