Wed, 26 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Pesta Kaamatan serlah bakat belia main alat muzik tradisional Bisaya
Published on: Saturday, June 01, 2024
By: Noorazlina Jindeh, Bernama
Text Size:

Pesta Kaamatan serlah bakat belia main alat muzik tradisional Bisaya
NORASNITAH memainkan kulintangan di Hongkod Koisaan.
PENAMPANG: Sambutan Pesta Kaamatan di Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, di sini, turut menjadi medan kepada belia daripada etnik Bisaya mempamerkan bakat bermain alat muzik tradisi, khususnya kulintangan.

Siti Norasnitah Jiknih, 18, dari kumpulan Puteri Kulintangan Suasa, Beaufort berasa amat bertuah kerana berpeluang memainkan alat muzik tradisional itu buat kali kedua sempena Pesta Kaamatan yang disambut secara bersama penduduk Sabah dan juga seluruh negara pada Mei setiap tahun..

Anak ketiga dari empat beradik itu berkata dia bersama lima ahli kumpulannya berumur antara 17 dan 18 tahun biasanya akan membuat sesi latihan dua hingga tiga jam sehari sebagai persiapan untuk persembahan setiap acara yang mereka sertai.

“Biasanya kami akan membuat persembahan dengan lagu tradisi Bisaya yang paling popular iaitu ‘nakuro ko kidum-kidum’ yang bererti ‘kenapa kamu senyum-senyum’,” katanya ketika ditemui Bernama di Rumah Bisaya Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).

Bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik, Norasnitah berkata dia telah mempelajari cara bermain alat kulintangan itu sejak berusia sembilan tahun.

Sabah mempunyai keseluruhan 35 etnik dan 217 subetnik hidup harmoni bersama sejak sekian lama.

Norasnitah berkata meskipun pada awalnya dia merasa sukar untuk berlatih namun berkat dorongan ibu bapa serta rakan-rakan yang lain, kini dia boleh bermain kulintangan dengan baik tanpa jurulatih.

“Kami berlatih dua kali seminggu dan cara mengingat nota lagu-lagu itu sama seperti bermain piano,” katanya menambah mahu menjadi pemain kulintangan wanita yang berjaya.

Mohd Zahiruddin Gismi@Jismi, 23, yang juga pemain kulintangan berkata dia bermain alat tradisional itu sejak berusia 14 tahun bagi mengisi masa lapangnya ketika berada di luar waktu sekolah.

Bersama lima rakannya yang lain, Mohd Zahiruddin dari kumpulan artis budaya Biro Kebudayaan dan Kesenian Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) juga turut berkongsi rasa bangga apabila dapat mempamerkan bakatnya kepada pengunjung yang bertandang ke rumah Bisaya.

Beliau berkata selain alat kulintangan, peralatan lain yang digunakan oleh kumpulannya untuk menghasilkan lagu irama Bisaya ialah canang satu dan dua, manginsaruk, mananggungu dan tatawak atau gong.

Berasal dari Kampung Batandok, Mohd Zahiruddin berkata antara lagu yang sering mereka  dendangkan ialah ‘raranyut’ dan ‘nainanang’ yang menceritakan mengenai kehidupan masyarakat Bisaya yang tinggal di daerah Beaufort.

Mahu mengekalkan muzik tradisional itu agar segar sepanjang zaman, kumpulannya itu juga pernah menjadi johan pertandingan bergandang peringkat zon Labuan pada Disember tahun lalu.

“Biasanya kami akan membuat latihan setiap hari di rumah nenek. Saya memang minat bermain kulintangan dan kami juga berlatih untuk membuat persembahan pada majlis kenduri kahwin,” kata anak ketiga dari empat beradik itu. 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here