Sat, 22 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Unduk Ngadau perlu jadi model peranan kepada belia – Carol
Published on: Friday, May 31, 2024
By: Bernama
Text Size:

Unduk Ngadau perlu jadi model peranan kepada belia – Carol
CAROL berkata dalam usaha melestarikan budaya dan warisan, penting bagi Unduk Ngadau belajar dan fasih dalam bahasa ibunda. – Foto Ricardo Unto
Kota Kinabalu: Setiap Unduk Ngadau, ratu cantik kebudayaan dan warisan yang dimahkotakan pada Pesta Kaamatan perlu menjadi model peranan kepada belia di seluruh negara khususnya di Sabah.

Unduk Ngadau 2023 Carol Abbey Gail, 25, berkata apabila dinobatkan sebagai Unduk Ngadau, ‘Sumandak’ bermaksud wanita dalam bahasa Kadazan Dusun dipandang tinggi masyarakat terutama belia, justeru pembawaan diri yang baik dan sifat rendah diri perlu ada dalam kalangan ratu cantik itu.

Menurut Carol penting bagi setiap Unduk Ngadau sama ada negeri, daerah atau semua peringkat menjadikan pertandingan itu sebagai platform menyampaikan mesej positif kepada masyarakat terutama soal perpaduan selain memainkan peranan melestari budaya dan warisan Negeri di Bawah Bayu itu.

“Pertandingan ini dikenali terutama Sabah. Apabila dinobatkan sebagai Unduk Ngadau, secara tidak langsung akan jadi model peranan juga pempengaruh, maka ia perlu dijadikan platform untuk memberi inspirasi kepada masyarakat terutama belia, bagaimana dia (Unduk Ngadau) mahu jalankan tugas dan amanah diberikan.

“Nilai positif pertama, kena sentiasa rendah diri tidak kira di mana berada, apa keadaan, usia atau latar belakang. Lebih matang buat keputusan... itu semua perlu ada dalam diri setiap Unduk Ngadau,” katanya dalam temu bual bersama Jabatan Penerangan Negeri Sabah dan Bernama. 

Unduk Ngadau 2024 yang merupakan edisi ke-64 penganjuran menyaksikan 51 peserta terdiri daripada Unduk Ngadau peringkat masing-masing seperti daerah, bandar dan cawangan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA bertanding pada peringkat akhir Jumaat ini (31 Mei) termasuk enam dari Semenanjung, serta masing-masing seorang dari Labuan dan Sarawak.

Carol berkata dalam usaha melestarikan budaya dan warisan, penting bagi Unduk Ngadau belajar dan fasih dalam bahasa ibunda masing-masing sebagai usaha menarik lebih ramai masyarakat terutama belia mempelajari bahasa ibunda mereka.

Berketurunan etnik Kadazan dan berasal dari Papar, Carol berkata dia mempelajari bahasa ibundanya menerusi bertutur bahasa itu bersama bapanya dan merujuk kamus bahasa Kadazan bagi memahami maksud sebenar perkataan atau ayat yang ditutur.

“Setiap hari saya belajar satu atau dua perkataan dalam bahasa Kadazan kemudian cuba buat ayat guna perkataan itu, jadi hari demi hari makin banyak saya tahu. Selalu bercakap bahasa ibunda dengan orang lebih tua… ini amat membantu kerana mereka boleh ajar dan betulkan apa kita salah,” katanya.

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menasihati belia supaya menolak rasa malu dan tidak mempedulikan kata-kata negatif orang lain ketika menggunakan bahasa ibunda dalam percakapan harian kerana mereka adalah harapan untuk memastikan bahasa itu kekal diwarisi.

Ditanya tentang prinsip hidupnya yang boleh dikongsikan kepada belia, Carol berkata sikap tidak pernah putus asa dan menerima kegagalan bagi menjadikan diri kita lebih baik adalah penting sebagai pembakar semangat untuk menggapai kejayaan suatu hari nanti.

“Selepas berusaha sebaiknya, kita nikmati apa sahaja kita buat. Bila kita nikmati apa sahaja yang kita buat… segalanya akan berjalan dengan lancar,” katanya.

Carol turut menasihati 51 peserta Unduk Ngadau 2024 supaya menguatkan mental dan diri masing-masing kerana akan mempengaruhi apa yang mereka akan capai dalam pertandingan itu.

Menjaga kesihatan diri masing-masing juga, katanya penting termasuk mengambil vitamin dan makan buah-buahan selain memastikan diri kekal hidrat.

“Sediakan pakaian dan perhiasan dengan lebih awal, jangan lakukan pada saat akhir. Yang paling penting jadi diri anda sendiri bagi serlahkan kecantikan dalaman,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here