Wed, 26 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Pembeli projek rumah Lahad Datu terbengkalai mohon campur tangan kerajaan
Published on: Sunday, May 26, 2024
By: Azmie Lim
Text Size:

Pembeli projek rumah Lahad Datu terbengkalai mohon campur tangan kerajaan
SEBAHAGIAN pembeli ketika ditemui di tapak projek itu.
LAHAD DATU: Seramai 70 pembeli rumah di Taman Khazanah Indah memohon campur tangan kerajaan bagi menyelesaikan masalah rumah yang dibeli sejak 2008, namun belum siap untuk diduduki sehingga kini.

Seorang pembeli rumah Sultan Abdullah berkata, sudah lebih 15 tahun projek pembinaan perumahan berkenaan terbengkalai menyebabkan pembeli terpaksa menanggung beban yang berat.

Sultan yang ditemui di tapak projek pembinaan perumahan berkenaan pada Sabtu berkata, pembeli terpaksa membayar ansuran antara RM600 hingga RM1,000 sebulan meskipun rumah yang dibeli belum siap dan tidak boleh diduduki.

Situasi lebih buruk melibatkan pembeli yang kini tinggal di kuarters kerajaan dan sedang menanti masa untuk pencen kerana tidak tahu lagi di mana mereka hendak tinggal selepas ini.

“Kami merayu kepada kerajaan negeri untuk campur tangan dan meminta pihak pemaju untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembinaan rumah kami yang masih terbengkalai.

“Rumah ini kami beli pada 2008 dan tidak siap sampai sekarang, dan ada di antara kami yang akan pencen dalam tiga tahun. 

“Kasihanilah kami kerana inilah rumah yang mampu kami beli namun tidak siap sampai sekarang,” katanya.

Menurut Sultan, dia tidak tahu di mana silapnya sehingga menyebabkan projek ini terbengkalai.

Katanya, sebelum ini projek tersebut di bawah tanggungjawab Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebelum diganti oleh pemaju Khazanah Jaya Sdn Bhd.

Sultan ketika ditemui merayu kepada mana-mana pihak untuk membantu mereka agar hasrat mereka untuk menduduki rumah sendiri selepas pencen dapat ditunaikan.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Ladaja Jawalis mengeluh terpaksa menanggung beban membayar ansuran bulanan untuk rumah yang dibeli sejak 2008.

“Sampai hari ini, apa yang kami nampak adalah bongkahan batu dan kami sendiri tidak tahu di mana rumah yang kami beli.

“Sejak 2008, saya membayar lebih RM800 sebulan untuk rumah ini dan ini merupakan satu bebanan kepada kami,” katanya.

Menurut Ladaja, mereka yang bergerak secara berkumpulan diketuai oleh Sultan untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini, bertemu pelbagai pihak namun sehingga kini belum ada solusi.

Katanya, keadaan ini sangat mendukacitakan, dan mereka teraniaya oleh hak mereka sendiri.

“Kami menemui pihak berwajib namun sehingga kini janji tinggal janji sehinggakan ada pembeli yang telah meninggal dunia,” jelasnya.

Sementara itu, Sabariah Mohd Salleh berkata, beliau membuat pembayaran untuk rumah di Taman Khazanah Indah ini sejak November 2010 melalui Pinjaman Perumahan Negara.

Katanya, beliau telah menghubungi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) berkaitan pemotongan ansuran bulanan berjumlah RM835 sedangkan tiada rumah, tetapi LPPSA mengatakan perkara ini bukan di bawah bidang mereka kerana mereka telah dapat dokumentasi lengkap.

Sabariah berkata, inilah rumah yang beliau impikan dan bakal pencen dalam lapan tahun lagi, namun masih menyewa sehingga kini.

“Dengan ansuran lebih RM800 sebulan, ditambah lagi dengan sewa rumah ini, memang membebankan. Saya perlu merancang perbelanjaan, dengan perbelanjaan untuk empat anak saya.

“Saya memohon kepada pihak berwajib, bantulah kami. Kami juga orang-orang kerajaan, kepada siapa lagi kami memohon kalau bukan kepada kerajaan,” tambahnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here