Thu, 4 Jul 2024

HEADLINES :


Pesta Kaamatan beri makna besar: Hajiji
Published on: Thursday, May 16, 2024
By: Marutin Ansiung
Text Size:

Pesta Kaamatan beri makna besar: Hajiji
ABIDIN memalu gong bagi merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Tenom dan Kemabong.
Tenom: Pesta Kaamatan memberi makna cukup besar terutama bagi rakyat berketurunan Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) khasnya serta seluruh rakyat Sabah amnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perayaan yang diraikan setiap tahun pada bulan Mei bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturrahim dan perpaduan, tetapi juga bagi menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik.

“Pesta Kaamatan adalah manifestasi keharmonian dan semangat muhibbah masyarakat di negeri ini untuk hidup aman dan bersatu padu walaupun terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, agama dan kepercayaan,” katanya pada perasmian Pesta Kaamatan peringkat Tenom dan Kemabong di dewan Datuk Seri Panglima Antenom di sini, Rabu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.

Katanya, selain memperkukuhkan kerjasama lebih jitu dalam kalangan rakyat, Pesta Kaamatan juga adalah medan yang berupaya memartabatkan warisan seni budaya.

“Justeru, perayaan seperti inilah juga tempat untuk kita mempertahankan keunikan budaya dan adat resam rakyat berbilang kaum dan budaya yang telah diwarisi daripada nenek moyang. 

“Khazanah yang ada ini perlu terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda agar tidak pupus disebabkan oleh pengaruh budaya luar yang tidak sihat,” katanya.

Hajiji berkata, rakyat di negeri ini beruntung kerana kerajaan amat prihatin dan turut membantu memelihara adat istiadat dan budaya suku-suku kaum yang terdapat di negeri ini.

Katanya, keistimewaan dan keunikan negeri Sabah yang mempunyai kepelbagaian warisan, etnik, budaya dan kaum adalah aset penting sebagai tarikan pelancong dan perlu terus dipelihara serta dilindungi sebagai lambang ketamadunan masyarakat negeri ini.

“Seperti yang kita sedia maklum keadaan cuaca tidak menentu amat memberi kesan terhadap hasil pertanian di negara kita, termasuk di Sabah. 

“Sesuai dengan keadaan semasa yang memerlukan komitmen kita untuk terus memastikan keterjaminan makanan, sambutan Pesta Kaamatan ini haruslah menjadi wadah penting untuk kita memperkasakan bidang pertanian dan industri asas tani agar kita lebih bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global,” katanya.

Pada masa sama Hajiji berkata, tema Pesta Kaamatan tahun ini “Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan” seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuhkan keterjaminan makanan di negeri ini.

Tema ini juga, katanya, memberi peringatan kepada semua pihak untuk sentiasa berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan dan memelihara sumber makanan di negeri ini.

Justeru itu katanya, dalam konteks keterjaminan makanan, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah terus komited meningkatkan tahap sara diri hasil pertanian terutamanya padi.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan pengeluaran dan tahap sara diri (SSL) atau hasil pertanian di Sabah bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan, khususnya bagi komoditi beras.

Untuk mencapai matlamat ini, beliau menyeru semua wakil rakyat agar terus mengamalkan pendekatan ‘turun padang’ untuk bertemu dengan rakyat jelata dan mengambil tahu permasalahan mereka.

Hadir sama Adun Kemabong Datuk Rubin Balang, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Ahli Dewan Negara Senator Norita Sual, Adun dilantik Datuk Raime Unggi dan Pegawai Daerah Tenom Mas Syazwan Masood.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here