Fri, 28 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Demi langsai hutang, peniaga wanita menyamar jadi ‘ibu’ daftar kad pengenalan jiran
Published on: Wednesday, May 15, 2024
By: Bernama
Text Size:

Demi langsai hutang, peniaga wanita menyamar jadi ‘ibu’ daftar kad pengenalan jiran
Nur Faezah juga menjatuhkan hukuman denda RM2,000 untuk pertuduhan pertama dan tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
SANDAKAN: Seorang peniaga wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dua pertuduhan memberikan maklumat palsu bagi mendaftarkan kad pengenalan dua lelaki yang juga jirannya tahun lepas.

Majistret Nur Faezah Jafry menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan kepada Ramla Lampeh, 49, bagi setiap pertuduhan bermula tarikh ditahan 10 Mei lepas dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

Nur Faezah juga menjatuhkan hukuman denda RM2,000 untuk pertuduhan pertama dan tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Ramla dalam dua pertuduhan itu didakwa memberikan maklumat palsu sebagai penganjur iaitu mengakui dirinya sebagai ‘ibu’ bagi mendaftarkan kad pengenalan, masing-masing atas nama Mohammad Firman Rahman, 22, dan Mohammad Luqman Rahman, 20.

Menurut fakta kes, tindakan itu dilakukan bagi melangsaikan hutang kepada peminjam wang dan Ramla didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sandakan, masing-masing pada 12.35 tengah hari dan 12.45 tengah hari, pada 15 Feb tahun lepas.

Wanita itu didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (pindaan 2007), juga boleh dihukum di bawah peraturan-peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Ramla, yang diwakili peguam Mohd Nazri Zikiri, merayu supaya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda berikutan menanggung keluarga dengan pendapatan RM500 sebulan serta perlu menjaga seorang anak yang juga orang kurang upaya.

Pegawai Pendakwa JPN Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pencegahan kerana kes itu merupakan isu serius dan sensitif serta melibatkan kedaulatan negara.

“Jika penyamar berjaya memperoleh kad itu, penyamar mendapat segala kemudahan dan kelebihan sebagai warga Malaysia, sedangkan penyamar tidak layak,” katanya.

Di mahkamah sama, Nur Faezah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan serta denda RM1,500 dan jika gagal membayar denda tersebut akan dipenjara sebulan kepada Mohammad Firman yang bekerja sebagai nelayan.

Beliau turut memerintahkan Mohammad Luqman yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dipenjara tujuh bulan.

Adik-beradik itu yang tidak diwakili peguam didakwa memberikan maklumat palsu sebagai pemohon semasa mendaftarkan kad pengenalan di JPN Sandakan pada lokasi, tarikh serta masa yang sama, mengikut Peraturan 25 (1) (b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (pindaan 2007).

Mahkamah juga memutuskan kedua-dua mereka perlu menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 10 Mei lepas dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman. 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here