Sat, 18 May 2024

HEADLINES :


Sabah perlu tingkat SSL bekalan beras: Hajiji
Published on: Friday, May 03, 2024
By: Bernama
Text Size:

Sabah perlu tingkat SSL bekalan beras: Hajiji
JEFFREY memalu gong sebagai simbolik pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri pada Rabu. Turut sama Masidi (tiga, kanan) dan Pairin (kiri). – fotoBERNAMA
RANAU: Situasi terlalu bergantung kepada import bekalan dalam memenuhi permintaan beras di Sabah wajar dihentikan bagi mengukuhkan keterjaminan makanan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pada masa ini tahap sara diri (SSL) Sabah bagi bekalan beras pada 22.8 peratus, dengan SSL yang amat rendah itu menyebabkan kebergantungan yang tinggi Sabah terhadap bekalan beras sumber import bagi memenuhi permintaan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Sabah bertindak dengan tuntas bagi meningkatkan tahap SSL apabila pada 17 April lepas, Kabinet negeri bersetuju menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah bagi memacu usaha itu.

“Lembaga ini sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan pengeluaran dan keselamatan makanan di negeri ini. la juga antara usaha kerajaan negeri meningkatkan tahap SSL beras.

“Pada masa sama, keadaan cuaca yang tidak menentu juga amat memberi kesan terhadap hasil pertanian, termasuk di negeri ini,” katanya dalam ucapan pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 di sini, Rabu lepas.

Teks ucapan beliau pada sambutan bertemakan ‘Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan’ itu dibacakan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan. 

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, serta kira-kira 5,000 hadirin.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga telah mewujudkan sebuah jawatankuasa pengurusan tertinggi di peringkat Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah bagi membincangkan dan menangani isu keterjaminan makanan.

Beliau berkata menerusi Bajet 2024 negeri, insentif Pembajakan Sawah Padi dengan peruntukan sebanyak RM18 juta dilaksanakan bagi membolehkan pesawah meningkatkan hasil padi mereka.

“Inisiatif lain yang turut diambil termasuk pemulihan tanah sawah terbiar pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak dan jentuai. 

“Bantuan baja pada kadar optimum serta subsidi penjualan padi turut diberikankepada semua pengusaha dengan peruntukan RM5.16 juta,” katanya.

Beliau berharap pemain sektor pertanian, penternakan, dan perikanan terus meningkatkan hasil bagi menyediakan bekalan makanan mencukupi kepada masyarakat dan mengambil peluang menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan negeri.

Sementara itu, Hajiji meminta semua pihak supaya menjadikan Sambutan Pesta Kaamatan 2024 sebagai medan perpaduan dalam kalangan masyarakat selain mensyukuri nikmat yang telah diberikan Tuhan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here