Thu, 4 Jul 2024

HEADLINES :


Jetama syarikat berkaitan kerajaan pertama sokong usaha konservasi batu karang
Published on: Tuesday, March 19, 2024
By: Noor Zafira Zayn
Text Size:

Jetama syarikat berkaitan kerajaan pertama sokong usaha konservasi batu karang
MONICA (kanan) menunjukkan cara semaian terumbu karang kepada Ahmad Zaki.
KOTA BELUD: Jetama Sdn. Bhd. komited dalam usaha membawa perubahan khasnya kepada alam sekitar Sabah dengan mengorak langkah pertama mereka sebagai syarikat berkaitan kerajaan pertama yang terlibat dalam usaha konservasi batu karang.

Pengurus Besar (Alam Sekitar, Sosial dan Takbir Urus), Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata usaha itu dilakukan bagi membuka ruang kepada lebih ramai GLC lain lebih peka terhadap kepentingan untuk terlibat sama dalam usaha memelihara dan memulihara alam.

“Usaha ini dijalankan menerusi semaian terumbu karang di tapak di One Ocean Conservation Centre Borneo kerana kita yakin, usaha kita mengambil terumbu karang ini sebagai ‘anak angkat’ mampu membawa perubahan kepada kelestarian alam khasnya lautan.

“Kita mahu sokong usaha murni pihak di luar sana yang menjalankan usaha dan inisiatif konservasi seumpama ini kerana kita lihat dan tahu, bahawa konservasi dasar laut ini amat dekat dengan kita di Sabah.

“Sabah adalah negeri yang mempunyai lokasi dan tempat selam terbaik, antara yang tercantik dalam senarai di seluruh dunia dan ini membuktikan bahawa usaha kita mengambil ‘anak angkat’ tapak semaian terumbu karang adalah satu usaha yang tidak sia-sia insyaAllah,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Daily Express di Pusat Konservasi Borneo One Ocean di Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Ahmad Zaki lagi, nelayan tempatan bergantung kepada hasil laut dan sangat wajar untuk usaha mendidik semua pihak tentang kepentingan memelihara serta memulihara hidupan marin.

Katanya, usaha pusat konservasi itu dalam memfokuskan kepada kerja-kerja semaian terumbu karang akibat daripada pengeboman ikan di laut adalah sebuah usaha murni yang perlu mendapat perhatian semua pihak.

“Saya tertarik dan terharu dengan usaha mereka (One Ocean) apabila mereka sangat komited dalam menjayakan semaian terumbu karang dan merawat semula kawasan yang rosak di persisir pantai dan dasar laut sekitar kerana aktiviti bom ikan.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab tidak memikirkan kesan jangka panjang adalah penyebab kepada kemusnahan keindahan laut dan pantai kita,” katanya lagi.

Ahmad Zaki turut menzahirkan harapan beliau untuk mengajak lebih banyak syarikat GLC, agensi-agensi serta badan bukan kerajaan dan kerajaan negeri sendiri untuk tampil bekerjasama dalam usaha konservasi terumbu karang.

Dalam pada itu, Pengasas dan Pengurus Pusat Konservasi Borneo One Ocean, Monica Chin turut memberitahu pusat konservasi itu kini dalam usaha untuk dibangunkan dan usaha semaian terumbu karang sedang giat dirangka.

“Kita di sini sekarang bergerak seratus peratus dengan usaha dan kudrat kita, tanpa sebarang penglibatan pihak luar dan apabila Jetama menghubungi saya dan menyatakan hasrat untuk membantu kami dengan mengambil tapak semaian terumbu karang sebagai ‘anak angkat’ Jetama, saya sangat bersyukur.

“Saya yakin ini adalah petanda bahawa usaha konservasi terumbu karang semakin mendapat perhatian banyak pihak.

“Saya berharap, segala perancangan yang saya bersama pasukan One Ocean rancangkan untuk bangunkan bagi pusat konservasi ini, akan berjalan lancar,” katanya lagi.

Jetama mengambil ‘anak angkat’ tapak semaian terumbu karang untuk tempoh setahun dengan sumbangan bernilai RM5,000.

One Ocean turut mengalu-alukan pihak luar yang ingin turut sama dalam usaha konservasi terumbu karang dan membantu mereka bagi sama-sama menjayakan usaha memulihkan kawasan persisir pantai dan dasar laut yang musnah akibat bom ikan.

“Jika dilihat dalam peta yang kami zoom dan rekod, kawasan sekitar pulau ini (Pulau Usukan), banyak yang kosong dan kawasan berwarna hitam tersebut adalah kawasan yang telah ‘rosak’ kerana aktiviti bom ikan.

“Semua terumbu karang yang hidup dan membesar semulajadi di sana musnah seratus peratus.

“Jika kita tidak mulakan aktiviti untuk memulihkan kembali kawasan ini, maka siapa lagi, dan bila lagi.

“One Ocean akan sentiasa bergerak aktif untuk usaha ini dan jika sesiapa di luar sana ingin turut serta bersama dalam usaha kami, boleh terus berhubung dengan saya dengan melayari laman media sosial One Ocean di platform Facebook dan Instagram,” kata Monica lagi.

Pusat Konservasi Borneo One Ocean terletak di Pulau Usukan, mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit menaiki bot dari Kuala Abai.

Pusat konservasi itu adalah pemilikan persendirian sepenuhnya dan dikendalikan dengan konsep seratus peratus mesra alam tanpa pencemaran.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here