SYAFIQ Kyle dan Beto Kusyairy bakal mencipta ‘chemistry’ baharu di layar perak menerusi filem aksi drama terbaharu Hak: Tuntut Atau Tunduk yang bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.
Filem terbitan Astro Shaw bersama Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan Icon Pictures itu menjadi projek pertama yang menyatukan dua pelakon popular terbabit dalam sebuah naskhah.
Diarahkan Ezrie Gazali dengan skrip hasil tulisan Alfie Palermo berdasarkan idea asal Santharuban Thurai Sundaram, filem berkenaan mengetengahkan kisah penuh debaran tentang tekanan hidup, perjuangan ekonomi dan pilihan sukar apabila berdepan desakan hidup.
Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif filem itu, Raja Jastina Raja Arshad berkata gandingan Syafiq dan Beto menjadi antara elemen paling menarik dalam karya terbabit.

“Apa yang menjadikan projek ini lebih menarik adalah buat pertama kalinya, kita dapat menyaksikan dua bakat hebat tanah air Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy bertembung dalam aksi kejar-mengejar seperti ‘musang memburu ayam’ yang mendebarkan.
“Penonton bakal melihat mereka bergandingan dalam satu filem bersama barisan pelakon dan pasukan kreatif yang hebat diterajui oleh Ezrie Gazali dan Alfie Palermo,” katanya.
Advertisement

Sementara itu, Santharuban, yang turut bertindak sebagai Penerbit Eksekutif filem berkata idea cerita daripada pemerhatian terhadap perubahan landskap perniagaan semasa.
“Saya melihat semakin ramai rakyat tempatan melepaskan peluang dalam bidang perniagaan sedangkan peluang dan ruang tersebut mula diambil serta dimanfaatkan oleh pekerja asing dan semakin berjaya membina serta mengembangkan perniagaan sendiri dalam pelbagai sektor.
“Rentetan daripada itu, saya merasakan isu ini wajar diberi perhatian secara lebih positif dan terbuka. Harapan saya, filem ini dapat membuka mata masyarakat tentang pentingnya rakyat tempatan merebut peluang, membina pemilikan sendiri dan memainkan peranan lebih besar dalam memajukan ekonomi negara serta komuniti kita sendiri,” katanya.
Selain Syafiq dan Beto, filem itu turut dibintangi Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar dan Fizz Fairuz.
Penggambaran dijalankan di sekitar pasar awam dan komuniti pangsapuri di Lembah Klang bagi memberikan suasana yang lebih realistik dan dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.
Filem itu mengisahkan Hakim lakonan Syafiq Kyle, seorang pegawai operasi di pasar awam yang terdesak mencari wang demi kelahiran anak sulungnya.
Namun selepas menemui sebuah beg berisi wang, hidupnya mula diburu pihak berbahaya yang sanggup mengancam nyawanya dan keluarga demi mendapatkan semula wang tersebut.
Dengan gabungan aksi, emosi dan isu sosial semasa, HAK: Tuntut Atau Tunduk dijangka menjadi antara filem tempatan paling dinanti penonton.