LATEST NEWS :





Sindiket daftar pekerja asing tanpa dokumen tumpas
Published on: Saturday, January 12, 2019
By: Lagatah Toyos

TAWAU: Satu sindiket mendaftarkan pekerja asing tanpa dokumen untuk bekerja di Sabah yang didalangi rakyat tempatan, tumpas apabila sembilan suspek termasuk lima wanita diberkas polis dalam serbuan di sebuah premis yang beroperasi di Sabindo Square, Jalan Dunlop, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata, kesemua suspek yang berusia 20 hingga 65 tahun, termasuk pemilik syarikat berkenaan ditahan susulan serbuan dan pemeriksaan di premis itu pada jam 4 petang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil di sini.

“Daripada tangkapan ini, kami percaya ada yang terlibat secara langsung dan sebahagian lagi kita perlukan sebagai saksi siasatan. Mereka ditahan reman selama empat hari bermula kelmarin (Khamis),” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, pada Jumaat.

Menurutnya, syarikat terbabit menjalankan operasi cuba mendaftarkan pekerja asing atau individu-individu tanpa dokumen dengan bayaran RM800 sehingga RM1,200 dan dikeluarkan kad pekerja yang mereka dakwa boleh digunakan untuk mencari pekerjaan lain.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati syarikat ini tidak pernah dilantik oleh mana-mana jabatan Kerajaan Negeri atau Persekutuan dan tindakan mereka ini adalah cubaan untuk memperdaya atau cubaan menipu dengan mendakwa pemilik kad itu tidak akan ditangkap penguatkuasa,” katanya.

Fadil berkata, kad-kad yang dikeluarkan syarikat terbabit turut mengandungi data peribadi pekerja asing terbabit dan giat mencari orang awam sebagai mangsa seterusnya dengan mengambil wang bayaran daripada mereka.

Setakat ini, katanya, sindiket itu yang sudah beroperasi sejak beberapa bulan lepas berdasarkan risikan pihaknya dipercayai telah memperdaya lebih 20 mangsa, namun, kebanyakkan mereka enggan tampil ke Balai Polis untuk membuat laporan kerana tidak memiliki dokumen sah.

“Kami sedang dalam usaha untuk mengesan mereka (mangsa) untuk siasatan lanjut kes ini yang dibuat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cubaan menipu,” tambahnya.

Beliau turut menyeru masyarakat di daerah ini agar tampil berkongsi maklumat berkaitan dengan polis dan mengingatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan modus operandi syarikat berkenaan.

Dalam serbuan tersebut juga, polis turut merampas borang-borang permohonan dan dokumen lain untuk memproses kad pekerja, wang tunai dan telefon bimbit. - Lagatah Toyos 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular